Sektor Hartanah Sebagai Pemangkin Kemajuan Negara

Seorang kenalan yang juga pemain industri di dalam bidang hartanah pernah berkata: “Selagi mana kaum lelaki masih berminat kepada kaum wanita, selagi itulah bidang hartanah itu akan sentiasa berkembang.” Lantaran mendengar kata-kata tersebut, saya terkesima seketika. Kata-kata tersebut mungkin dilontarkan secara berseloroh, namun hakikatnya populasi manusia boleh dikatakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi kemajuan bidang hartanah di mana-mana sekali pun. Dengan pertambahan populasi, secara automatiknya lebih banyak keperluan asas yang perlu diwujudkan dan contoh yang paling lazim kita dengari adalah tempat tinggal, makanan dan pakaian.

Di Malaysia, anggaran purata pertumbuhan populasi tahunan semenjak 10 tahun yang lepas adalah 1.3% bermula dengan populasi seramai 28.7 juta orang pada tahun 2011 telah meningkat kepada 32.8 juta orang pada tahun 2021. Dalam pada masa sama, tanah pula secara umumnya kekal sebagai sumber yang terhad dengan permukaan mendatar di negara kita dianggarkan seluas 329,847 km2. Secara teorinya, jika penjarakan sosial tahap luarbiasa dilaksanakan di Malaysia, kita akan mendapati terdapat seramai 99 orang yang menduduki kawasan seluas 1 kilometer persegi. Sebagai perbandingan, di Singapura jumlahnya adalah seramai 8,358 orang / km2.

Dari tahun ke tahun, kepadatan penduduk ini akan sentiasa bertambah. Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap komoditi yang terhad ini, Nilai Pasaran (Market Value) hartanah secara umumnya pun akan turut meningkat. Terdapat juga faktor-faktor yang membolehkan nilai sesuatu hartanah itu susut, samada yang di luar kawalan (Act of God) ataupun yang di dalam kawalan manusia sekalipun; contohnya, perubahan perancangan oleh pihak berkuasa tempatan sehingga menyebabkan Nilai Utiliti sesuatu kawasan itu berkurangan.

Selain itu, Nilai Pasaran hartanah juga kuat dipengaruhi oleh faktor makroekonomi yang seringkali dikawalselia oleh polisi fiskal kerajaan. Di dalam situasi ekonomi yang merudum, salah satu sektor yang biasanya akan diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan adalah hartanah. Ini disebabkan kerajaan di serata dunia menyedari akan kesan gandaan (multiplier effect) yang dapat dicapai oleh sebarang stimulus ekonomi yang dilaksanakan seperti meningkatkan aktiviti di dalam bidang pembinaan dan hartanah. Mana tidaknya, di dalam sesuatu transaksi bangunan kediaman, sebagai contohnya, pelbagai pihak dan profesyen akan dapat merasai tempias manfaat ekonomi melalui penglibatan secara langsung ataupun tidak langsung; antaranya juruukur, perancang bandar (townplanner), peguam, kontraktor, pengilang, jurutera, pemaju dan ejen hartanah. Dalam jangkamasa panjang, sektor hartanah melahirkan peluang perniagaan di dalam subsektor baru yang semakin berkembang pesat seperti penyelenggaraan bangunan dan pembekalan tenaga boleh diperbaharui. Malahan, pihak kerajaan sendiri juga dapat meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai bentuk kutipan cukai seperti cukai pintu, cukai perniagaan, Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) dan sebagainya.

Sehubungan itu, sektor hartanah sebenarnya merupakan penyumbang senyap yang utama terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Seiring dengan kemajuan sektor hartanah, rakyat juga dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih tinggi melalui persekitaran dan gaya hidup yang seimbang. Kawasan perumahan lazimnya disediakan bersama kemudahan-kemudahan untuk memenuhi keperluan jasmani, rohani dan intelektual seperti kawasan rekreasi, masjid dan sekolah.

Kayu ukur kualiti hidup juga boleh dilihat dari aspek akses kepada kemudahan kesihatan seperti hospital dan pendidikan yang jitu. Sesungguhnya, kualiti kehidupan boleh dilihat dengan cara yang berbeza-beza kerana bagi sesetengah orang, berdekatan dengan kompleks membeli-belah juga tinggi kepentingannya.

Peranan yang dimainkan sektor hartanah di dalam memangkin kemajuan, kesejahteraan, dan kemakmuran sesebuah negara tidak dapat dinafikan dan justeru itu perlu diberikan perhatian serius oleh pihak pembuat polisi dan juga mereka yang berminat terhadap excelsior negara terbabit.

Seorang kenalan yang juga pemain industri di dalam bidang hartanah pernah berkata: “Selagi mana kaum lelaki masih berminat kepada kaum wanita, selagi itulah bidang hartanah itu akan sentiasa berkembang.” Lantaran mendengar kata-kata tersebut, saya terkesima seketika. Kata-kata tersebut mungkin dilontarkan secara berseloroh, namun hakikatnya populasi manusia boleh dikatakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi kemajuan…

Schreibe einen Kommentar

Deine E-Mail-Adresse wird nicht veröffentlicht. Erforderliche Felder sind mit * markiert